Petikan Akhbar

Guru penggerak Pelan Pembangunan Pendidikan


Golongan guru termasuk pensyarah institusi pengajian tinggi awam atau swasta menggalas tugas besar memastikan kelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 sekali gus menepati keperluan objektifnya.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran, Datuk Mohd. Ghazali Ab. Rahman berkata, guru dan pensyarah menjadi penggerak serta pelaksana utama dalam PPPM di samping berperanan memastikan perlaksanaannya memenuhi matlamat yang dihasratkan oleh kerajaan.

“Oleh itu, golongan ini harus memahami skop keperluan dan objektif penubuhan PPPMkerana mereka merupakan aset paling utama dalam menentukan kejayaan atau sebaliknya rancangan PPPM,“katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya dekat Putrajaya, baru-baru ini.

Laporan awal PPPM yang dilancarkan bulan lalu itu merangkumi pelan tiga fasa bagi tempoh selama 13 tahun sehingga 2025.
- UTUSAN

Elak guna bahasa 'rojak' - TPM

SEREMBAN 10 Okt. - Penggunaan bahasa Melayu 'rojak' yang berleluasa dalam kalangan masyarakat akan beransur-ansur menghakis kekuatan bahasa itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, kecanggihan alat media dan komunikasi maklumat termasuklah khidmat pesanan ringkas (SMS), Twitter dan Facebook juga seringkali menyebabkan ejaan dan sebutan yang tidak betul digunakan.

"Penggunaan bahasa Melayu yang betul dilihat semakin dipinggirkan dalam mengharungi dunia globalisasi," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 di Stadium Tertutup Nilai dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan.

Muhyiddin berkata, kehilangan bahasa boleh berlaku apabila masyarakat umum tidak fasih lagi menggunakan bahasa ibunda atau bahasa etnik mereka sama ada secara lisan mahupun tulisan.

"Ini merupakan satu petanda yang amat buruk kepada bangsa berkenaan yang sedang mengalami kehilangan bahasa," katanya.

Menurutnya, amat penting semua warganegara menerima hakikat bahawa bahasa Melayu bukan lagi milik orang Melayu sahaja, bahkan turut menjadi milik semua warganegara, tidak kira asal keturunannya.

"Kita mahu bahasa kebangsaan menjadi teras dalam kehidupan bernegara dan hendaklah kita bertanggungjawab menjadikannya wasilah perhubungan dalam semua bidang khususnya pentadbiran, undang-undang, pendidikan dan perdagangan," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, hasrat kerajaan untuk menyaksikan nisbah 0.01 peratus jumlah penerbitan setahun berbanding dengan jumlah rakyat juga masih jauh daripada sasaran.

"Pada tahun lalu kita hanya berjaya menerbitkan sekitar 17,000 judul buku sedangkan sasaran adalah 28,000 judul," katanya.

Mengenai usaha memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, Muhyiddin menjelaskan, bahasa Melayu sebenarnya telah menjadi bahasa antarabangsa.

"Buktinya bahasa Melayu telah diajar dan diteliti di lebih 100 buah universiti di Eropah, Australia, New Zealand dan Amerika Utara selain di rantau Asia Tenggara dan Asia Timur," tegas beliau.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh, program audit bahasa di semua jabatan dan agensi kerajaan akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan.

"Kita mahu bahasa Melayu digunakan dalam semua urusan rasmi negara. Kita akan berikan penarafan bintang dalam penilaian yang dibuat kelak. Saya berharap program itu dapat dilaksanakan di sektor swasta," katanya.
- UTUSAN

Mencapai pendidikan berkualiti

DALAM memastikan negara tidak ketinggalan dan mampu berdaya saing, Kementerian Pelajaran mengambil inisiatif menyediakan satu sistem pendidikan negara yang berkualiti melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Laporan awal pelan tersebut memaklumkan, pelan itu menyediakan hala tuju dasar dan inisiatif pelaksanaan yang direncanakan dengan terperinci bagi mencapai matlamat sistem pendidikan negara yang dinamik serta memenuhi hasrat dan keperluan semua.

Pelan tersebut juga dihasilkan oleh kementerian melalui kajian dan penilaian yang mendalam serta penglibatan meluas pihak awam termasuk agensi luar seperti Bank Dunia, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

‘‘Lazimnya, kepelbagaian dan keadaan kompleks sistem pendidikan sesebuah negara yang ingin melaksanakan transformasi mengambil masa beberapa tahun sebelum hasilnya dapat dizahirkan dan dilihat.

‘‘Oleh yang demikian, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran perlu segera memulakan tindakan berani, bersungguh-sungguh dan drastik dalam melaksanakan transformasi yang penting serta kritikal ini," jelas laporan itu.

Tambah laporan itu lagi, pelan tersebut mempunyai tiga objektif utama iaitu memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan negara melalui penambahbaikan akses kepada pendidikan, meningkatkan kualiti, merapatkan jurang pencapaian dan menggalakkan perpaduan di kalangan murid serta memaksimumkan keberkesanan sistem.

Jelas laporan tersebut, ia juga memberi fokus kepada mewujudkan visi serta aspirasi jelas bagi sistem pendidikan dan setiap murid bermula 2013 hingga tahun 2025.

‘‘Selain itu, pelan pembangunan pendidikan ini turut menggariskan program transformasi menyeluruh bagi sistem pendidikan termasuk perubahan utama dalam Kementerian Pelajaran yang membolehkan ia memenuhi permintaan baharu, jangkaan meningkat dan sokongan transformasi perkhidmatan awam," jelas laporan itu.

Tambah laporan tersebut, hampir 98 peratus daripada lebih 3,000 responden yang mengikuti Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) berpendapat usaha kerajaan menjalankan kajian semula pendidikan adalah tepat pada masanya.

Jelas laporan itu, ada di kalangan responden turut berpendapat kajian semula itu seharusnya telah dilakukan lebih awal lagi.

‘‘Bagi memenuhi permintaan yang sentiasa meningkat, negara-negara lain sentiasa menambah baik pendekatan terhadap pendidikan dan Malaysia juga perlu melakukan perkara sedemikian," ujar laporan itu.

Dua bidang utama akan difokuskan dalam proses transformasi Kementerian Pelajaran bagi merealisasi aspirasi untuk meningkatkan akses, kualiti, ekuiti, perpaduan serta keberkesanan sistem pendidikan negara.

Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menyebut, pertamanya kementerian akan memperkukuh sistem penyampaian untuk memastikan pelaksanaan dasar yang lebih baik.

Hal itu jelas laporan tersebut, menuntut penetapan semula peranan dan fungsi Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan memberikan lebih kuasa membuat keputusan serta keluwesan dan sikap tanggungjawab dalam menjalankan tugas bagi membolehkan penyelesaian yang sesuai dirancang dan disampaikan ke sekolah.

“Individu yang berkebolehan dan komited pada semua peringkat organisasi merupakan nadi bagi menjayakan proses ini. Justeru kementerian akan terus meningkatkan cara untuk menarik, membangun dan mengekalkan individu yang berkemahiran bagi melaksanakan perubahan ini.

“Usaha ini merangkumi keseluruhan organisasi daripada fungsi yang berkaitan dengan pendidikan seperti pembangunan kurikulum dan pendidikan guru hinggalah kepada fungsi pengurusan seperti perancangan pembangunan modal insan dan infrastruktur," jelas laporan itu.

Laporan tersebut menambah, menerusi bidang kedua pula, kementerian akan menambah baik produktiviti sumber dengan memberi tumpuan utama kepada keberhasilan murid dan memperuntukkan sumber kepada inisiatif yang mempunyai pulangan atas pelaburan (ROI) yang tinggi.

Usaha itu bukan sahaja memerlukan kemampuan mengagih semula peruntukan sedia ada kepada perkara yang perlu diutamakan tetapi pada dasarnya mengubah cara kementerian memperuntukkan sumber serta memantau projek dan perkhidmatan yang diberikan.

“Melalui Gelombang Pertama yang meliputi pelaksanaan 2013 hingga 2015, kementerian akan memberi tumpuan mengkaji semula program-program dan perbelanjaan mengurus dalam usaha meningkatkan keberkesanan berbelanja dan mengagihkan semula sumber kepada penggerak yang mempunyai impak besar ke atas keberhasilan murid.

“Semasa Gelombang Kedua pula (2016-2020), kementerian akan mengalih tumpuan dalam usaha pewajaran daripada melaksanakan kejayaan segera kepada pelaksanaan sistem secara meluas termasuk menghapuskan pertindihan bajet antara bahagian apabila proses penstrukturan semula berlaku," jelas laporan itu.

Bagi Gelombang Ketiga (2021 - 2025) pula, kementerian menjangkakan keseluruhan penstrukturan semula termasuk pelaksanaan rombakan dalam sistem dan proses pengurusan kewangan akan selesai.

“Hasilnya, produktiviti sumber akan selari dengan standard antarabangsa. Sebagai contoh, tahap perbelanjaan awam seharusnya selari dengan sistem pendidikan negara lain yang mempunyai tahap prestasi yang hampir serupa dalam pentaksiran antarabangsa.

“Dalam gelombang itu, kementerian juga akan memberi tumpuan untuk mengekalkan amalan terbaik bagi menjamin kecekapan kewangan yang dibangunkan semasa gelombang terdahulu," tambah laporan itu.
- UTUSAN

Transformasi pendidikan nampakkan hasil

transformasi-pendidikan

Hari ini dan esok, secara rasminya bermulalah sesi persekolahan 2011. Bermula jugalah alam pendidikan sebenar buat hampir setengah juta kanak-kanak yang akan memulakan pengajian Tahun Satu, diiringi harapan menggunung rakyat terhadap transformasi pendidikan bagi melahirkan modal insan cemerlang selaras Program Transformasi Kerajaan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran turut berkongsi pandangan dan harapannya kepada Wartawan Edisi Mingguan, ROHANIZA IDRIS.

SEJAUH manakah Tan Sri melihat perubahan yang dicapai Kementerian Pelajaran. Adakah Tan Sri berpuas hati pelaksanaan perubahan yang diumumkan.

Banyak perubahan dan kejayaan berhubung bidang pendidikan yang sudah dicapai sebelum saya menerajui kementerian ini. Cuma dengan adanya Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebagai piawaian pencapaian, ia membolehkan setiap prosedur diperkemas, segala tenaga di dalam organisasi digembleng dan membolehkan setiap kejayaan yang disasar diukur dengan lebih sistematik. Saya gembira kerana subbidang NKRA Pendidikan yang mencapai kejayaan lebih daripada sasaran ditetapkan untuk 2010. Misalnya sub-NKRA Prasekolah menunjukkan prestasi cemerlang kerana berjaya melepasi sasaran 72.42 peratus dengan 1,500 prasekolah. Sebanyak 315 prasekolah kementerian beroperasi mulai Januari 2010 dan tambahan 10 prasekolah dibina di rumah panjang di Sarawak dan Pusat Komuniti di Sabah yang mula beroperasi pertengahan Jun lalu.
Pada masa sama, 50 prasekolah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan 500 prasekolah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) juga beroperasi, manakala swasta berjaya membuka prasekolah melebihi unjuran bagi 2010 iaitu daripada 488 kepada 625 prasekolah. Dari segi enrolmen pula, 701,144 (72.42 peratus) kanak-kanak berusia empat dan lima tahun ke atas di seluruh negara menyertai prasekolah. Bagi sub-NKRA Linus, saringan kali ketiga ke atas murid Tahun Satu di seluruh negara menunjukkan peratusan murid menguasai literasi meningkat 85 peratus berbanding 35 peratus pada saringan kedua, manakala untuk numerasi meningkat 91 peratus berbanding 45 peratus. Murid yang menguasai literasi tidak mencapai sasaran ditetapkan, namun pencapaian itu satu petunjuk bahawa sasaran untuk 2012 mampu dicapai. Kementerian sedang menjalankan kajian secara terperinci bagi mengetahui faktor yang menyumbang kepada masalah ini.

Umum mengetahui 20 sekolah diberi pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi berdasarkan kecemerlangan aspek akademik, kokurikulum dan pembentukan sahsiah pelajar. Sejak mendapat pengiktirafan tertinggi ini, banyak kejayaan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa ditunjukkan 20 sekolah berkenaan antaranya Kolej Tunku Kurshiah terpilih mengadakan persembahan Kurshiah Orchestra di International Society for Music Education (ISEM) World Conference di Beijing, China; seorang pelajar SMK Sri Aman menang dua pingat emas pada International Competition and Assessment for Schools (ICAS) di Singapura, manakala SMK Sultan Alam Shah Johan World Orchestra peringkat kebangsaan. Bai’ah yang diperkenalkan bagi mengiktiraf pencapaian pemimpin sekolah juga pada peringkat akhir penilaian.


Pengumuman guru besar yang layak menerima ganjaran berdasarkan Bai’ah dijangka dilakukan pada akhir Januari ini, manakala pengumuman pengetua pula dijangka selepas keputusan SPM diumumkan. Seperti diketahui umum, kementerian memperkenalkan Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP) bagi membantu sekolah berprestasi rendah dalam Band 6 dan 7, bukan sub-NKRA Pendidikan, sebaliknya bagi memastikan sekolah ini meningkatkan pencapaian. Bagi perbandingan pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2009 dan 2010, sekolah Band 6 dan 7 menunjukkan pencapaian baik iaitu daripada 209 sekolah rendah dalam Band 6 dan 7, sebanyak 145 (69.4 peratus) menunjukkan penambahbaikan pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) dan ada sekolah berjaya menunjukkan lonjakan sehingga 40 peratus penambahbaikan dalam GPS.


Sesi persekolahan baru sudah bermula. Apa harapan Tan Sri?

Saya sudah mempengerusikan Mesyuarat Penggal Persekolahan 2011 pada 16 Disember lalu bertujuan memastikan semua sekolah 100 peratus bersedia dari aspek pengurusan dan keperluan. Dengan persediaan rapi, pihak saya mengharapkan ia dapat membantu meredakan sedikit keresahan masyarakat terutama ibu bapa, guru serta dapat meningkatkan keyakinan serta kepercayaan ibu bapa dan masyarakat terhadap institusi pendidikan. Mesyuarat juga membincangkan pelbagai isu yang dijangka berbangkit setiap kali permulaan persekolahan seperti bayaran tambahan, buku teks, kerusi meja, keperluan guru dan dasar baru berkait secara langsung dengan murid dan guru. Kementerian sudah dan sedang mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan segala isu yang timbul berhubung persediaan penggal baru persekolahan diselesaikan sebaik mungkin agar murid memulakan persekolahan dengan selesa. Jumlah murid yang dijangka memulakan persekolahan Tahun Satu kali ini ialah 457,760 orang, manakala Tingkatan Satu seramai 474,803.

Bolehkah Tan Sri terangkan pelaksanaan pelbagai langkah termasuk pengenalan subjek Dunia Sains dan Teknologi (DST) serta pendidikan seks menerusi Pendidikan Kesihatan.


Kementerian mengambil langkah positif dalam transformasi kurikulum dengan memperkenalkan DST bagi Tahun Satu serta menambah baik subjek Pendidikan Kesihatan yang disasarkan kepada murid Tahun Satu hingga Tahun Tiga. DST bertujuan memupuk minat murid terhadap elemen serta bidang sains dan teknologi sejak awal. Subjek ini mampu mengembangkan kreativiti dan inovasi murid melalui pengalaman dan penyiasatan bagi menguasai bukan saja ilmu sains dan teknologi serta kemahiran saintifik, malah mampu memupuk kemahiran berfikir serta sikap saintifik dan nilai murni. Subjek ini gabungan elemen Sains, Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dan juga Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang diajar di tahap satu. Pendekatan bertema diperkenalkan dalam DST bertujuan menjadikan pengajaran dan pembelajaran (P&P) lebih menarik selain mengurangkan bilangan mata pelajaran di tahap satu. Perlu ditegaskan bahawa kementerian tidak pernah menggunakan istilah ‘pendidikan seks’ kerana ia memberikan maksud berbeza serta konotasi negatif di kalangan masyarakat, sebaliknya istilah Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS).


Sebenarnya PEERS dilaksanakan kementerian sejak 1989 di sekolah menengah dan mulai 1994 di sekolah rendah khususnya menerusi subjek Pendidikan Kesihatan. Kurikulum Pendidikan Kesihatan merangkumi 75 peratus elemen PEERS, 15 peratus pemakanan dan 10 peratus pertolongan cemas. PEERS disasarkan kepada semua murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima. Ia mencakupi pengetahuan secara menyeluruh dari aspek biologikal, sosiobudaya, psikologi dan kerohanian ke arah amalan tingkah laku sihat dalam kehidupan dan tidak hanya fokus kepada isu berkaitan seksual semata-mata. PEERS adalah proses pembelajaran sepanjang hayat yang dilaksanakan secara komprehensif dari sekolah rendah hingga menengah untuk meningkatkan kesedaran serta membantu murid memperoleh pengetahuan dan membentuk sikap, nilai serta kepercayaan terhadap identiti, perhubungan dan keintiman sesama insan serta memperoleh kemahiran membuat keputusan secara bijak dan bertanggungjawab terutama dalam menangani situasi berisiko. Pengisian PEERS seperti berikut:

  • Tahap Satu Sekolah Rendah – perbezaan fizikal lelaki dan perempuan, tanggungjawab menjaga kebersihan diri, kemahiran berkata tidak kepada sentuhan tidak selamat, kepentingan memelihara kehormatan diri serta pengurusan perasaan.
  • Tahap Dua Sekolah Rendah – pengurusan konflik, perubahan fizikal, akil baligh, sistem reproduktif, kemahiran memelihara kehormatan diri, risiko hubungan seks sebelum nikah, jangkitan penyakit seksual dan kemahiran berkata tidak kepada rokok, alkohol dan dadah.
Wajarkah dikatakan sesi kali ini permulaan ke arah transformasi pendidikan itu sendiri yang menjadi platform melahirkan modal insan cemerlang dan selaras Program Transformasi Kerajaan.

Pendidikan ialah proses yang sentiasa berubah dan mengalami penambahbaikan seiring keperluan serta perkembangan pesat negara dan dunia. Sejak dulu, kerajaan mengutamakan bidang pendidikan dalam usaha membangunkan modal insan yang akan memacu kemajuan negara. Kementerian sentiasa melakukan usaha berterusan bagi meningkatkan kecemerlangan pendidikan serta menambah baik sistem pendidikan. Sebarang penambahbaikan tentu selaras dengan perkembangan atau program yang diperkenalkan kerajaan.


Bagaimana Tan Sri melihat usaha mengatasi kekurangan guru dan ketidaksesuaian nisbah guru dan murid.


Kementerian sentiasa berusaha memenuhi keperluan sekolah dan mengisi jawatan guru berdasarkan opsyen dan perjawatan. Bagi memastikan keperluan opsyen dipenuhi di setiap sekolah, kementerian melaksanakan Penempatan Semula Guru Dalam Negeri bagi meminimumkan ketidaksepadanan guru dan opsyen berdasarkan keperluan sekolah.


Anggaran perjawatan guru sekolah rendah bagi 2011 adalah 229,705 dan pengisian pada Januari 2011 adalah 225,052. Justeru, kekosongan jawatan pada 1 Januari adalah 4,653 yang akan diisi guru sandaran tidak terlatih (GSTT) sehingga penempatan guru baru dijalankan pada tahun itu. Anggaran perjawatan guru sekolah menengah adalah 164,824 dan pengisian Januari adalah 161,104. Kekosongan jawatan pada 1 Januari adalah 3,720 yang juga diisi GSTT sehingga penempatan guru baru dijalankan. Saya sedar dan faham masalah yang timbul akibat penempatan semula guru. Keputusan penempatan semula guru dibuat kerana kita kekurangan sumber tenaga dalam dalam mata pelajaran penting seperti Bahasa Inggeris (BI). Kita dapati di sesetengah negeri, sebilangan guru opsyen BI lebih ramai daripada yang diperlukan di negeri itu, manakala ada negeri agak kurang guru opsyen subjek itu kerana mereka berada di tempat tidak sepatutnya.


Di Wilayah Persekutuan dan Selangor kita dapati ramai bilangan mereka. Saya mencadangkan penempatan bagi mengatasi masalah ini, maka guru ditempatkan semula di sekolah yang memerlukan. Sekarang, ramai guru opsyen BI tetapi tidak mengajar BI kerana enggan berpindah. Saya faham ada tidak mahu mengajar di tempat lain kerana mereka sudah berkahwin, masalah keluarga, ada anak, ibu bapa tidak sihat dan ada sudah membeli rumah, namun jika kita tidak mengambil langkah sebegini maka beban kita bertambah berat. Apakah kita perlu tambah guru baru opsyen sesuatu subjek sedangkan guru sudah ada. Untuk mengelak perkara ini menjadi terlalu menyulitkan, kita minta Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) jika mahu membuat penempatan semula tidak membabitkan pertukaran antara negeri sebaliknya ke tempat berdekatan dan mudah untuk guru bertugas. Contohnya dalam Selangor, seorang guru bertugas di Banting mungkin ditukarkan ke Klang yang jaraknya hanya 30 hingga 40 kilometer.


Kita terpaksa mulakan tahun ini bagi mencapai KPI yang ditetapkan. Mahu tidak mahu, kita terpaksa. Jika ada guru tidak selesa atau ada masalah, boleh buat rayuan, namun pasti kementerian tidak boleh memenuhi semua permintaan. Saya kena ingatkan apabila sudah berkhidmat dengan kerajaan, mana-mana jawatan pun, penempatan semula dan pertukaran adalah satu daripada komitmen dalam perkhidmatan. Sudah bertahun tidak dibuat penempatan semula, menyebabkan bebanan bertambah. Mahu tidak mahu saya kena mulakan sekarang. Jika guru berasa terbeban, mereka boleh membuat rayuan.


Apakah pandangan Tan Sri terhadap cabaran pendidikan hari ini yang menyaksikan persaingan sengit dalam akademik. Bagaimana pula dengan kurikulum sekarang, perlukah ditambah baik selaras dengan budaya kreatif dan inovatif yang cuba diterapkan.


Kualiti pendidikan pada semua peringkat sistem persekolahan sentiasa dipertingkatkan dengan memberikan penarafan baru kepada sekolah. Sebagai contoh, memperkenalkan label Sekolah Kluster Kecemerlangan iaitu mencapai penarafan 80 peratus berdasarkan instrumen Sistem Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) dan Sekolah Berprestasi Tinggi, iaitu mencapai tahap 90 peratus berdasarkan instrumen sama. Ini selaras hasrat atau agenda Program Transformasi Kerajaan, selain membolehkan lebih ramai pelajar berpeluang mendapat pendidikan berkualiti dan tidak hanya tertumpu kepada Sekolah Berasrama Penuh semata-mata. Selain itu, kementerian memperoleh pelbagai peruntukan untuk menaik taraf aspek fizikal dan kemudahan pembelajaran agar mereka yang tidak berada di sekolah terpilih turut mendapat kemudahan setanding dengan sekolah terkenal dan menjadi pilihan ramai.


Mengenai transformasi kurikulum sekolah rendah, kementerian sudah membuat penambahbaikan bagi memastikan murid dibekalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Kita juga mengambil budaya kreatif dan inovatif dalam semua mata pelajaran. Untuk membantu guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang dihasratkan, kementerian memberikan pendedahan mengenai kreativiti dan inovasi serta membekalkan Buku Panduan Kreativiti kepada guru.


Bolehkah Tan Sri ulas mengenai isu bebanan guru.


Soal bebanan ditimbulkan kerana arahan kementerian yang sampai kepada guru biasanya ditokok tambah pada peringkat negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah. Satu arahan ditambah dengan arahan lain kerana pegawai kita sangat kreatif. Ini menambah beban dan banyak laporan perlu disediakan menyebabkan masa guru banyak terbuang. Kita cuba longgarkan punca kuasa dan cuba mengawalnya. Kita sudah ada jawatankuasa meneliti beban guru di sekolah, kini kita akan mengambil langkah daripada perakuan yang dibuat jawatankuasa itu. Jadi guru harus tumpu kepada soal hakiki mendidik dan mengajar, bukan kerja pentadbiran dan perkeranian yang membebankan. Walaupun beban ini tidak serius, ia perlu diselesaikan supaya guru tidak terganggu dengan kerja tambahan. Apa pun, kita tidak boleh pandang ringan jadi kita lihat cadangan dikemukakan jawatankuasa itu dan akan melaksanakannya, sekali gus mengatasi isu ini. Umpamanya menambah kakitangan sokongan pentadbiran dan perkeranian di sekolah yang memerlukan.


Bagaimana pula dengan infrastruktur sekolah kerana masih ada yang daif.


Saya maklum mengenai perkara ini dan ia akan menjadi tumpuan kerana banyak juga sekolah tidak cukup kelengkapan dan kemudahan. Apa yang menjadi penghalang adalah dana dan bajet. Waktu saya melawat negeri, banyak sekolah yang tidak elok dan secara tidak langsung menjejaskan prestasi pencapaian pelajar. Kita mempunyai 15,000 hingga 20,000 bangunan di lebih 10,000 sekolah. Daripada audit yang dilakukan bagi menilai infrastruktur sedia ada, tiga peratus daripada 10,000 sekolah atau 300 sekolah dikategorikan teruk iaitu uzur dan daif. Peruntukan untuk membina satu sekolah adalah RM3 juta, maka keutamaan kita kepada sekolah uzur ini. Namun, peruntukan yang ada terhad. Ada juga sekolah tidak teruk tetapi mahukan bangunan tambahan bagi menampung pelajar yang bertambah seperti di Subang Jaya. Ada sekolah menumpang di sekolah rendah. Pada pendapat saya, hendak menyelesaikan masalah ini bukan mudah malah dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10), mungkin tidak dapat diselesaikan pun, mungkin juga susah diselesaikan dalam RMKe-11.


Kita kena pastikan sekolah paling teruk seperti Sekolah Tutuh Apuh di Sarawak yang tenggelam 18 kali setahun. Ada banyak sekolah di Sabah dan Sarawak yang teruk kerana berada di tepi sungai yang terdedah kepada hakisan dan banjir. Kita lihat peruntukan infrastruktur memerlukan belanja besar kerana ia sangat mendesak. Peruntukan besar masih tidak mampu menampung keperluan kerana setiap tahun 500,000 pelajar masuk sekolah walaupun yang keluar dari sistem berpuluh ribu. Keperluan semakin bertambah setiap tahun. Namun yang penting apa yang perlu ganti dan tukar, kita utamakan, malah bajet perlu menjurus kepada masalah ini. Kita cuba baiki dan selesaikan. Namun kemudahan seperti bangun, kerusi, meja dan komputer terus disalurkan walaupun di sekolah kayu dan uzur.


Apakah rumusan dan harapan Tan Sri terhadap sistem pendidikan kita.


Umumnya saya berpuas hati dengan pencapaian Malaysia dalam bidang pendidikan berbanding negara lain, malah ranking kita masih dalam 30. Apa yang penting strategi untuk 10 tahun akan datang sudah disusun dan beri keutamaan kepada perkara utama dalam pembelajaran dan pengajaran. Saya lihat NKRA yang menjadi kayu pengukur dengan lebih sistematik tahap prestasi, saya lihat sudah ada peningkatan tahun lalu termasuk kualiti serta pencapaian pelajar. Tahun ini saya harap pencapaiannya lebih baik daripada tahun lalu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan