Prasekolah

Pendidikan Prasekolah

Pendidikan Prasekolah berfokus kepada usaha untuk menyediakan peluang pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna kepada kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun. Fokus utama adalah proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan kanak-kanak, menekankan kepada inkuiri penemuan, dan menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran bersepadu, bertema, belajar melalui bermain, pembelajaran kontekstual dan pembelajaran berasaskan projek. Prinsip utama yang digunakan adalah pendekatan dan kandungan pembelajaran perlu sesuai dengan peringkat perkembangan kanak-kanak dan mengambil kira perbezaan antara individu. Melalui proses pengajaran dan pembelajaran ini, kanak-kanak akan memperoleh konsep dan kemahiran asas yang akan membantu mereka meneruskan pembelajaran ke sekolah rendah kelak.


Pendidikan Awal Kanak-kanak
Dalam melaksanakan program prasekolah, guru dan pelaksanaan tadika mengetahui dan memahami perkembangan kanak-kanak pada peringkat umur ini. Ianya bertujuan agar mereka boleh mengubahsuai kurikulum mengikut kesesuaian peringkat umur, kemampuan, kebolehan dan minat murid. Untuk keberkesanan PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK, kurikulum perlu dirancang dan distrukturkan mengikut :
* Titik permulaan pembelajaran kanak-kanak mengikut apa yang mereka tahu dan boleh buat.
*  Bahan atau kandungan aktiviti pembelajaran yang sepadan dengan tahap dan keperluan kanak-kanak
*  Merancang aktiviti yang bertujuan dan bermakna untuk memberi peluang kepada pengajaran dan pembelajaran di luar dan di dalam bilik darjah.
 
Objektif Pendidikan Prasekolah
PENDIDIKAN PRASEKOLAH, membolehkan murid :
  • Mempunyai sifat peribadi, perwatakan dan konsep kendiri yang positif yang   menjadi warganegara yang patriotik.
  • Menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan memperkembangkan kemahiran berbahasa untuk komunikasi.
  • Menggunakan bahasa Cina dan bahasa Tamil dengan betul untuk berkomunikasi di sekolah yang menggunakan bahasa pengantar Cina dan bahasa Tamil.
  • Menggunakan bahasa Inggeris dalam interaksi seharian selaras dengan kedudukan sebagai bahasa kedua.
  • Mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian untuk murid beragama Islam.
  • Mengamalkan nilai-nilai murid dalam kehidupan seharian.
  • Mempunyai kemahiran kognitif, kemahiran berfikir dan kemahiran menyelesaikan masalah.
  • Mempunyai kematangan emosi dan kemahiran sosial. 
  • Mempunyai kecerdasan dan kemahiran fizikal serta mempraktikkan amalan kesihatan dan keselamatan yang baik.
  • Mempunyai daya kreatif dan estetika untuk menghargai keindahan alam dan warisan budaya.
       
    Matlamat Pendidikan Prasekolah 
    PENDIDIKAN PRASEKOLAH bertujuan menyuburkan potensi kanak-kanak dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan untuk masuk ke sekolah  rendah.


    Rukun Negara
    BAHAWASANYA NAGARA KITA MALAYSIA, mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya, memelihara satu cara hidup demokratik, mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama, menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai corak, membina satu masyarakat yang progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden. 
    MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut : 
    Kepercayaan kepada Tuhan 
    Kesetiaan kepada Raja dan Negara 
    Keluhuran Perlembagaan 
    Kedaulatan undang-undang 
    Kesopanan dan kesusilaan


    Falsafah Pendidikan Kebangsaan

    Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan digubal berkandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan seperti berikut :
    “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”


    Tunjang dalam Kurikulum Standard Prasekolah
    1. Tunjang Komunikasi
    2. Tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai
    3. Tunjang Kemanusiaan 
    4. Tunjang Ketrampilan Diri
    5. Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika
    6. Tunjang Sains & Teknologi

    Fokus dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan
    Pendidikan Prasekolah berfokus kepada usaha untuk menyediakan peluang pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna kepada kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun. Fokus utama adalah proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan kanak-kanak, menekankan inkuiri penemuan dan menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran bersepadu, bertema, belajar sambil bermain, pembelajaran konteksual dan pembelajaran berasaskan projek. Prinsip utama yang digunakan adalah pendekatan dan kandungan pembelajaran yang sesuai dengan peringkat perkembangan kanak-kanak dan mengambil kira perbezaan antara individu. Melalui proses pengajaran dan pembelajaran ini, kanak-kanak akan memperoleh konsep dan kemahiran asas yang akan membantu mereka meneruskan pembelajaran ke sekolah rendah kelak.

    Peruntukan Masa Dalam Kelas Prasekolah

    PERUNTUKAN MASA DALAM PRASEKOLAH - Peruntukan masa minimum
     

    Peruntukan waktu minimum berikut hendaklah dipatuhi:
     

    1. Prasekolah hendaklah dijalankan sekurang-kurangnya empat jam sehari (termasuk masa rehat), iaitu, sejumlah 20 jam satu minggu untuk kanak-kanak yang berumur 5+.
     

    2. Prasekolah hendaklah dijalankan sekurang-kurangnya tiga jam setengah sehari (termasuk masa rehat), iaitu, sejumlah 17 ½ jam satu minggu untuk kanak-kanak yang berumur 4+.
     

    3. Bahasa Malaysia hendaklah digunakan sebagai bahasa instructional sekurang-kurangnya 10 jam seminggu di kelas prasekolah yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.
     

    4. Bahasa Malaysia hendaklah digunakan sebagai bahasa instructional sekurang-kurangnya 6 jam seminggu di kelas prasekolah yang tidak menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.
     

    5. Bahasa Inggeris hendaklah digunakan sebagai bahasa instructional sekurang-kurangnya 10 jam seminggu di kelas prasekolah yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.
     

    6. Bahasa Inggeris hendaklah digunakan sebagai bahasa instructional sekurang-kurangnya 6 jam seminggu di kelas prasekolah yang tidak menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.

    Standard Pengajaran dan Pembelajaran


    Standard Pengajaran dan Pembelajaran menerangkan apa yang perlu diketahui dan dilakukan oleh guru prasekolah semasa pengajaran dan pembelajaran.

    Standard Pengajaran dan Pembelajaran Pertama: Guru prasekolah perlu membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran berdasarkan keperluan kurikulum dan keperluan kanak-kanak.

    Ø  Guru perlu membuat perancangan jangkamasa panjang (contohnya Rancangan Tahunan) dan jangkamasa pendek (contohnya Rancangan Harian) berdasarkan keperluan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.

    Ø Guru merancang pengajaran dan pembelajaran yang dapat menyokong perkembangan murid dalam aspek berikut:
    ·         Kreativiti
    ·         Pemikiran logikal
    ·         Kemahiran Menaakul
    ·         Perkembangan Rohani
    ·         Pembentukan sikap positif dan nilai murni
    ·         Perkembangan fizikal dan kesihatan
    ·         Kreativiti dan estetika

    Ø  Guru memilih kandungan, bahan dan kaedah pengajaran yang sesuai dengan minat, tahap kebolehan, pengalaman dan pengetahuan murid-murid.

    Ø  Guru membimbing dan menjadi fasilitator dalam pembelajaran murid dengan:
    ·  Mengenalpasti dan memberi respons kepada diversiti murid dan menggalak semua murid berfikir secara kritis dan kreatif.
    ·    Memodelkan proses berfikir kritis dan kreatif.
       
    Ø  Guru menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menyokong pembangunan komuniti murid yang kreatif dan berfikiran terbuka dengan:
             ·     Menunjukkan sikap positif terhadap idea baru murid.
    ·    Memberi peluang kepada murid untuk terlibat dalam proses membuat keputusan.
    ·  Memberi tanggungjawab kepada murid terhadap pembelajaran mereka sendiri.

    Standard Pengajaran dan Pembelajaran Kedua: Guru prasekolah perlu menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan tahap perkembangan kanak-kanak(developmentally appropriate) supaya pembelajaran berkesan dan membawa makna kepada murid.

    Ø  Guru prasekolah perlu menggunakan pendekatan berikut mengikut kesesuaian standard kandungan dan standard pembelajaran yang hendak dicapai:
    ·         Pembelajaran Berpusatkan murid
    ·         Inkuiri Penemuan
    ·         Belajar Melalui Bermain
    ·         Pendekatan Bersepadu
    ·         Pendekatan Bertema
    ·         Pembelajaran Berasaskan Projek
    ·      Pembelajaran Masteri (terutamanya dalam penguasaan bahasa dan kemahiran)
    ·      Pembelajaran Kontekstual (menggunakan pengalaman murid, alam persekitaran murid)
    ·   Pembelajaran berdasarkan kepelbagaian kecerdasan (Multiple intelligence)

    Ø  Guru prasekolah menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang mengambil kira tentang:
    ·      Kebolehan dan aras perkembangan kognitif kanak-kanak
    ·         Teori perkembangan kanak-kanak.
    ·         Keadaan setempat.
    ·         Keperluan individu murid.

    Ø  Guru prasekolah mengendalikan pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk aktiviti kumpulan, individu dan kelas.

    Ø  Guru prasekolah merancang aktiviti harian berpandu kepada aktiviti yang dicadangkan dalam Jadual 12-16: Cadangan Peruntukan Masa untuk Pengajaran dan Pembelajaran dalam Kelas Prasekolah.

    Ø  Guru prasekolah perlu mengendalikan perbualan pagi dan refleksi setiap hari.

    Ø  Guru prasekolah perlu memastikan rutin harian dikendalikan dengan baik setiap hari.

    Ø  Guru prasekolah sentiasa berinteraksi dengan murid dan menggalakkan interaksi antara murid.

    Ø  Guru prasekolah sentiasa menggalakkan murid terlibat secara aktif dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

    Ø  Guru prasekolah sentiasa menggalakkan murid untuk mengemukakan idea mereka, bersikap inquisitive dan bersikap terbuka.

    Standard Pengajaran dan Pembelajaran Ketiga: Guru prasekolah menjalankan pentaksiran secara berterusan menggunakan pelbagai kaedah seperti yang dinyatakan di Standard Pentaksiran.

    Standard Pengajaran dan Pembelajaran Keempat: Guru prasekolah perlu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dalam bilik prasekolah.

    Ø  Guru prasekolah menyediakan persekitaran yang selamat, ceria, selesa dan mesra dalam kelas.

    Ø  Guru prasekolah mewujudkan pusat-pusat pembelajaran dalam kelas prasekolah.

    Ø  Guru prasekolah melengkapkan pusat pembelajaran dengan bahan yang sesuai, mencukupi dan updated.

    Ø   Guru prasekolah memastikan pusat pembelajaran sentiasa kemas.

    Ø  Guru prasekolah melibatkan murid dalam merekabentuk pusat pembelajaran.

    Standard Pengajaran dan Pembelajaran Kelima: Penglibatan ibubapa dan komuniti setempat amat penting dalam pendidikan awal kanak-kanak. Guru memainkan peranan yang penting dalam membina perhubungan antara sekolah dan ibubapa murid.

    Ø  Pihak pengurusan sekolah dan guru perlu cuba menjalinkan perhubungan yang baik dengan ibubapa/penjaga melalui pelbagai cara.

    Ø  Guru perlu membantu pihak pengurusan sekolah membentuk jawatankuasa yang melibatkan waris/ibubapa/penjaga murid.

    Ø  Guru perlu mengaturkan perjumpaan dengan ibubapa/penjaga secara berkala, sekurang-sekurangnya dua kali setahun.

    Ø  Pihak sekolah dan guru perlu melibatkan ibubapa dalam program dan aktiviti sekolah seperti Hari Sukan, Hari Keluarga, Gotong Royong, lawatan dan program keibubapaan.

    Ø  Guru perlu memberi penerangan tentang kurikulum prasekolah termasuk kaedah pentaksiran kepada ibubapa.

    Ø  Pihak pengurusan sekolah dan guru membuat lawatan ke rumah untuk murid yang bermasalah jika perlu.

    Ø  Guru perlu berusaha mewujudkan kesinambungan pengajaran dan pembelaran dari sekolah ke rumah.

    Standard Pengajaran dan Pembelajaran Keenam: Guru Prasekolah menghadapi keadaan di mana terdapat murid keperluan khas dalam kelas mereka. Guru prasekolah perlu membantu mengenalpasti murid keperluan khas ini dan memberi nasihat yang bersesuaian kepada ibubapa.

    Ø  Guru perlu mengenalpasti murid keperluan khas menggunakan borang pengesanan yang telah disediakan.

    Ø  Pihak pengurusan dan guru perlu menasihatkan ibubapa untuk menghantar murid tersebut ke sekolah pendidikan khas jika perlu.







1 ulasan: